global

Libya arah tentera serang aset Turki

Oleh AFP

BENGHAZI: Pemimpin tentera Libya, Khalifa Haftar mengarahkan angkatannya menyerang kapal Turki dan kepentingannya di negara itu, selepas menuduh Turki menyokong musuhnya dalam konflik Libya, kata jurucakapnya semalam.

“Arahan sudah diberikan kepada tentera udara untuk menyasarkan kapal dan bot Turki di wilayah perairan Libya.

“Lokasi strategik Turki, syarikat dan projek milik negara Turki di Libya dianggap sasaran yang sah oleh angkatan bersenjata,” kata Jeneral Ahmad al-Mesmari.

Tentera Kebangsaan Libya pimpinan Haftar yang menguasai timur Libya dan sebahagian di selatan negara itu, melancarkan serangan untuk menawan ibu kota negara itu pada April lalu.

Mesmari berkata semua rakyat Turki di Libya akan ditahan dan melarang semua penerbangan keluar dan masuk dari Turki.

Namun dia tidak menjelaskan bagaimana larangan penerbangan itu untuk kawasan yang bukan dibawah kawalan Haftar.

Haftar disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir serta menuduh Turki dan Qatar menyokong Pakatan Kerajaan Kebangsaan (GNA).

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 12:01pm
d