global

65 cedera dalam letupan bom di Kabul

Oleh AFP

KABUL: Sekurang-kurangnya 65 orang cedera dalam letupan bom yang menggegarkan Kabul awal pagi tadi sebelum berlaku pertempuran antara sekumpulan penyerang dan pihak keselamatan.

AFP melaporkan, letupan bom menyebabkan kawasan kejiranan Puli Mahmood Khan di ibu kota Afghanistan dipenuhi asap tebal dan gegaran dirasai hingga sejauh 2 kilometer (km).

“Pada mulanya, letupan bom kereta berlaku dan kemudiannya beberapa orang menyerang sebuah bangunan. Kawasan itu dikepung oleh pasukan khas polis dan mereka bertempur dengan penyerang,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi.

Manakala jurucakap Kementerian Kesihatan, Wahidullah Mayar mengesahkan seramai 65 orang cedera termasuk sembilan kanak-kanak yang kini sudah dihantar ke hospital.

Menurutnya, bilangan mangsa kemungkinan akan meningkat.

Kawasan yang dikawal ketat itu menempatkan sebahagian bangunan tentera dan kerajaan termasuk satu bangunan yang dikongsi agensi perisikan dan kementerian pertahanan termasuk Persekutuan Bola Sepak Afghanistan serta Lembaga Kriket.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 3:37pm
d