global

Lelaki 'jatuh' dari langit

Oleh AFP

LONDON: Polis Britain berusaha mengenal pasti identiti seorang lelaki dipercayai maut akibat terjatuh dari pesawat Kenya Airways sebelum mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, baru-baru ini.

Menurut Polis Metropolitan London, pihaknya menerima panggilan, kelmarin selepas mayat dipercayai penumpang yang menyorok dalam pesawat itu ditemui di halaman sebuah kediaman di Clapham.

“Kami mempercayai lelaki itu terjatuh dari bahagian gear pendaratan sebuah pesawat.

“Kematian itu tidak dianggap mencurigakan dan siasatan dijalankan bagi mendapatkan gambaran penuh kejadian itu,” kata polis dalam satu kenyataan.

Sebuah beg bersama bekalan air dan makanan ditemui dalam bahagian gear pendaratan pesawat Kenya Airways selepas ia mendarat di Heathrow.

Kemiskinan dan keadaan sosial yang membimbangkan di beberapa negara Afrika menyebabkan ramai rakyatnya cuba masuk ke Eropah dan Amerika Syarikat dengan bersembunyi di dalam kapal terbang.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 12:41pm
d