global

Kubur mangsa bunuh Daish ditemui

Oleh AFP

BEIRUT: Satu kubur besar yang mengandungi kira-kira 200 mayat yang dipercayai dibunuh kumpulan militan Daish ditemui berhampiran bandar Raqa, Syria, kata pihak berkuasa tempatan hari ini.

Kubur besar itu mengandungi lima mayat lelaki pertengahan usia, lengkap dengan seragam berwarna oren yang biasa dipakai tahanan Daish, kata, Yasser al-Khamees dan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

“Mereka dirantai dan ditembak di kepala.

“Mangsa yang masih belum dikenal pasti itu dipercayai dibunuh lebih dua tahun lalu,” kata Yasser yang mengetuai operasi itu.

Penyiasat turut menemui mayat tiga wanita yang dipercayai mati akibat direjam dengan batu.

Difahamkan, pasukan itu mula menemui kubur besar berkenaan awal Jun lalu di selatan Raqa, bekas ibu negara Daish di Syria. Ia berkemungkinan mengandungi lebih 800 mayat.

Februari lalu, pasukan penggali menemui sebuah kubur besar yang mengandungi sehingga 3,500 mayat di Al-Fukheikha, di pinggir Raqa.

Ia dipercayai kubur terbesar pernah ditemui pasukan penyiasat setakat ini.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 9:42pm
d