global

Rasuah AS$2 juta anjur Sukan Olimpik Rio 2016

Oleh Reuters

RIO DE JANEIRO: Bekas Gabenor Rio de Janeiro membayar sebanyak AS$2 juta (RM8.2 juta) untuk membeli undi bagi menganjurkan Sukan Olimpik 2016, katanya ketika memberi keterangan di mahkamah semalam.

Reuters melaporkan, Sergio Cabral memberitahu hakim bahawa wang terbabit diberi kepada bekas Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Lamine Diack dan ia digunakan untuk membeli sebanyak sembilan undi.

Ketua Jawatankuasa Olimpik Brazil dan penganjur utama bidaan, Arthur Nuzman memperkenalkan wakil Rio 2016 kepada Diack sebelum memintanya membuat bayaran menjelang undian pada 2009 yang menyaksikan Rio memenangi undian ke atas Madrid, Chicago dan Tokyo, kata Cabral kepada hakim persekutuan.

“Nuzman datang kepada saya dan berkata, Sergio, saya ingin memberitahu mengenai Presiden IAAF, Lamine Diack. Dia seseorang yang terbuka menerima rasuah,” kata Cabral.

Pendakwa raya di Brazil mendakwa Nuzman pada Oktober 2017 atas tuduhan rasuah untuk memastikan Rio dapat menganjurkan acara sukan terbabit.

Diack turut didakwa di mahkamah dan bulan lalu dia dihadapkan ke mahkamah Perancis apabila dia dan anak lelakinya, Papa Massata dituduh terbabit dalam beberapa melakukan kegiatan haram dalam tempoh beberapa tahun.

Ia termasuk mengambil rasuah, melakukan penggubahan wang haram ketika membabitkan diri secara aktif dalam persekutuan olahraga antarabangsa.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 11:24am
d