global

Tunisia larang niqab

TUNIS: Perdana Menteri Tunisia, Youssef Chahed mengeluarkan larangan mengenakan niqab di pejabat kerajaan dan institusi awam atas alasan keselamatan selepas beberapa serangan dilaporkan berlaku sebelum ini.

Larangan pemakaian niqab yang menutup hampir keseluruhan muka dilakukan

susulan berlakunya dua serangan bom berani mati di Tunis yang menyebabkan dua mati dan tujuh cedera pada 27 Jun lalu.

Pada Februari 2014, menteri dalam negeri pernah mengeluarkan arahan kepada polis supaya meningkatkan pengawasan keselamatan terhadap pemakaian niqab yang menjadi sebahagian langkah anti-keganasan bagi mengelakkan ia digunakan untuk menyamar.

Bagaimanapun, Presiden Liga Tunisia bagi Memperjuangkan Hak-hak Asasi Manusia, Jamel Msallem menggesa supaya langkah itu hanya bersifat sementara.

“Kami memperjuangkan kebebasan untuk berpakaian namun melihat kepada situasi semasa dan ancaman pengganas di Tunisia dan di rantau ini, kita dapati terdapat justifikasi bagi keputusan ini,” katanya.

Menurutnya, larangan itu harus ditarik balik sebaik saja situasi keselamatan di Tunisia kembali normal. - AFP

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 11:31am
d