global

Jutawan ditahan akibat pemerdagangan seks

Oleh AFP

WASHINGTON: Seorang jutawan dana lindung nilai ditahan atas tuduhan pemerdagangan seks di kawasan New York, lapor media Amerika Syarikat (AS).

Jeffrey Epstein, ditahan semalam di lapangan terbang New Jersey selepas tiba dari Paris dengan jet persendiriannya, lapor CBS Miami.

Seorang sumber dalam kes berkenaan memberitahu stesen televisyen, Epstein didakwa dengan satu kes pemerdagangan seks dan satu kes konspirasi melakukan pemerdagangan seks.

Epstein juga dituduh membayar gadis-gadis muda untuk melakukan urutan seks di rumah agamnya di Palm Beach, Florida.

Siasatan polis mendapati dia melakukan hubungan seks dengan beberapa gadis bawah umur, yang paling muda berusia 13 tahun, menurut laporan Miami Herald.

Tetapi Epstein mengelak pendakwaan persekutuan dalam kes-kes berkenaan menerusi perjanjian rayuan pada 2007.

Pendedahan itu menarik perhatian ramai ke atas Epstein, dikenali sebagai pembiaya dan mempunyai kaitan dengan beberapa ahli politik termasuk Presiden AS Donald Trump dan bekas presiden Bill Clinton.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 9:49pm
d