global

Isteri Naib Presiden UAE larikan diri

Oleh Agensi

DUBAI: Puteri Dubai, Haya Binti Al-Hussein dilapor melarikan diri dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan meninggalkan suaminya, Naib Presiden yang juga Perdana Menteri Sheikh Mohammed Bin Rashid Al-Maktoum.

Puteri Haya, adik tiri Raja Jordan, Raja Abdullah, dilaporkan melarikan diri bersama dua anak, Zayed, 7, dan Al Jalila, 11, ke Jerman bulan lalu, dengan bantuan seorang diplomat Jerman.

Menurut laporan Middle East Monitor (MEM), Jerman dikatakan enggan mengembalikan puteri itu walaupun selepas diminta Sheikh Mohammed.

Namun, laporan juga mendakwa Puteri Haya kini bersembunyi di London selepas melarikan diri bersama £31 juta (RM161.3 juta) untuk memulakan ‘hidup baru’ di ibu negara Britain itu.

Kejadian itu berlaku setahun selepas seorang anak perempuan Sheikh Mohammed, Puteri Latifa, juga melarikan diri dari Dubai.

Puteri Latifa dikatakan ‘hilang’ di perairan Goa, India, bersama bekas ejen perisikan Perancis yang juga penulis tetapi kini sudah menjadi rakyat Amerika Syarikat, Jean-Pierre Herve Jaubert.

Puteri itu kemudian diketahui bersembunyi dalam kapal layar bersama Jaubert serta seorang rakan dari Britain.

Puteri Latifa melalui video di YouTube, mendakwa dia ‘dipenjara, diseksa, dipukul dan dikurung’ oleh keluarga diraja UAE.

Puteri itu bagaimanapun, berjaya ditangkap dan dikembali ke UAE dan selepas itu tiada berita mengenainya sebelum muncul dalam satu gambar lapan bulan kemudian bersama Mary Robinson, bekas Presiden Ireland yang juga bekas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 7:34am
d