global

Hapus bukti Nakba

Oleh Agensi

BAITULMAQDIS: Sejak sedekad lalu, pasukan dalam Kementerian Pertahanan Israel memadam dan menyembunyikan dokumen dalam arkib negara itu kejadian berkaitan jenayah ketika Nakba 1948 yang menyebabkan ratusan ribu penduduk Palestin dihalau dari negara mereka.

Jumaat lalu, akhbar Israel, Haaretz, melaporkan selain mengeluarkan dokumen berkaitan reaktor nuklear Israel dan hubungan luar, pasukan Kementerian Pertahanan itu juga secara sistematik menyembunyikan ratusan dokumen bagi menghapuskan semua bukti berkaitan Nakba.

Kejadian lebih 700,000 penduduk Palestin dihalau dari negara mereka mulai 1948 dikenali sebagai Nakba yang bermaksud bencana besar. Perkampungan Palestin dimusnahkan agar penduduk terbabit tidak pulang.

Mereka melarikan diri daripada dibunuh militan Zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di kampung, pekan dan bandar.

Sejak itu, Israel tidak membenarkan pelarian Palestin terbabit pulang walaupun masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan mereka berhak berbuat demikian.

Akhbar Israel itu turut menyiarkan kandungan dalam satu dokumen: “Safsaf (bekas kampung Palestin dekat Safed) – 52 lelaki ditangkap, diikat dalam rantaian panjang, menggali lubang dan mereka ditembak.

“10 masih bergerak. Wanita datang, merayu belas ihsan. Jumpa mayat enam lelaki tua. Semuanya 61 mayat. Tiga kes rogol, satu dari Safed, budak perempuan 14, empat lelaki ditembak dan mati.

“Seorang mangsa mereka potong jarinya dengan pisau untuk diambil cincin.”

Menurut Middle East Monitor yang memetik Haaretz, tindakan mengeluarkan dokumen terbabit dari arkib disedari Institut Akevot yang disiarkan dalam Penyelidikan Konflik Israel-Palestin.

“Menurut laporan disediakan institut itu, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Malmab iaitu jabatan sulit Kementerian Pertahanan yang aktiviti dan peruntukan kewangannya dirahsiakan.

“Laporan itu menyatakan Malmab mengeluarkan dokumen sejarah tanpa kebenaran, malah mengeluarkan dokumen yang sebelum ini sudah diberi kebenaran untuk disiarkan kepada umum,” kata laporan itu.

Menurut Haaretz, Malmab dalam bahasa Ibrani bermaksud ‘pengarah keselamatan untuk pertahanan.’

Haaretz mendakwa ia melakukan siasatan dan mendapati Malmab menyembunyikan pengakuan jeneral tentera Israel yang mengenai pembunuhan orang awam dan memusnahkan perkampungan serta dokumen menghapuskan badui pada dekad pertama penubuhan negara Israel.

Yehiel Horev yang mengetuai Malmab selama dua dekad sehingga 2007 mengakui pelancaran projek itu yang masih berjalan sampai sekarang.

Menurut Haaretz, Horev menegaskan langkah menyembunyikan kejadian pada 1948 itu wajar kerana mendedahkannya akan menimbulkan huru-hara dalam kalangan penduduk Arab.

Menurut Horev, tanpa dokumen terbabit, kajian dan laporan mengenai Nakba, hak pelarian Palestin dan jenayah Israel tidak akan terbukti kerana dakwaan penyelidik tanpa sokongan dokumen asal tidak boleh dipercayai.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 7:43am
d