global

Tamat mogok selepas 17 hari

Oleh AFP

TAIPEI: Pertikaian yang mengakibatkan mogok selama 17 hari membabitkan syarikat penerbangan swasta terbesar di Taiwan, berakhir selepas pihak pengurusan dan kru kabin mencapai kata sepakat, berhubung perjanjian bersama.

Mogok yang dilancarkan oleh lebih 2,000 kru kabin EVA Airways itu, mengakibatkan lebih 1,200 penerbangan terpaksa dibatalkan, selain menjejaskan 300,000 penumpang.

Insiden mogok itu adalah paling lama dalam sejarah industri penerbangan Taiwan dan ia berlaku kurang enam bulan selepas kejadian sama yang dilancarkan oleh juruterbang China Airlines.

Kru kabin syarikat penerbangan itu mengadakan mogok, selepas desakan bagi memperoleh faedah dan suasana kerja lebih baik, menemui kegagalan dalam perbincangan yang berlangsung bulan lalu.

Ia mengakibatkan jadual penerbangan sepanjang tempoh tiga minggu dibatalkan, menjelang waktu puncak sempena cuti musim panas.

Sementara itu, ratusan pekerja mogok menyambut baik persetujuan yang dicapai antara kesatuan sekerja dan pengurusan dengan linangan air mata, selepas berita mengenai perjanjian bersama itu, diumumkan pada malam Sabtu lalu.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:56pm
d