global

Kapal berat punca Rohingya terkandas

Oleh AFP

YANGON: Lebih 60 orang ditemui terkandas berhampiran sebuah kapal di Rakhine, Myanmar, kata pihak berkuasa semalam.

Setiap tahun ribuan etnik Rohingya dan warga Bangladesh cuba seludup masuk ke Malaysia atau Indonesia melalui laluan laut.

Tetapi disebabkan terlampau ramai sehingga membebankan kapal, ia menyebabkan kapal terkandas di pantai Myanmar atau Thailand, terutama ketika musim tengkujuh.

Seramai 63 orang Islam ditemui awal pagi semalam dan dibawa ke balai polis berhampiran, kata pentadbir daerah Maungdaw utara Rakhine, Soe Aung kepada AFP.

“Kami menemui empat lelaki di atas bot dan selebihnya berada di sini. Secara keseluruhan terdapat 63 orang,” katanya menerusi telefon sambil menambah ia masih belum dapat dipastikan sama ada mereka adalah orang Bangladesh atau Rohingya.

Pegawai Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai kumpulan etnik dan merujuk mereka sebagai Bengalis atau Muslim dari Rakhine.

Pihak berkuasa cuba menutup laluan penyeludupan manusia berharga jutaan dolar pada 2015 selepas penemuan kubur besar di selatan Thailand.

Pada Sabtu lalu, hampir 24 orang Islam Rohingya ditemui bersembunyi dalam hutan di Thailand selepas ditinggalkan ejen penyeludup, kata polis.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 10:03pm
d