global

Abadi dalam wang baru Britain

Oleh Reuters

MANCHESTER: Ahli matematik, Alan Turing yang terkenal kerana memecahkan kod rahsia Nazi dan membantu tentera Perikatan memenangi Perang Dunia Kedua akan diabadikan dalam wang kertas baru 50 pound, kata Bank England (BoE) semalam.

“Sebagai bapa sains komputer dan kepintaran tiruan serta wira perang, sumbangan Alan Turing adalah meluas dan menjadi peneraju dalam pelbagai bidang,” kata Gabenor BoE, Mark Carney yang membuat keputusan akhir mengenai wajah siapa yang bakal digunakan.

Mesin elektrik mekanikal ciptaan Turing, yang menjadi asas kepada modem komputer, mendedahkan kod Enigma digunakan tentera Nazi Jerman dan memberi kelebihan kepada tentera Perikatan untuk menguasai laut Atlantik.

Tugasnya di Bletchley Park, sebuah pusat memecah kod Britain dianggap antara faktor memendekkan perang dunia berkenaan dan menyelamatkan ribuan nyawa.

Bagaimanapun, kisah Turing berkahir dengan tragis apabila dia dipecat dan dikembiri secara kimia selepas disabitkan dengan kesalahan melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki. Homoseksual adalah satu kesalahan di Britain hingga 1967.

Turing kemudiannya membunuh diri dengan meminum racun pada 1954 ketika berusia 41 tahun. Pada 2013, dia mendapat pengampunan diraja oleh Ratu Elizabeth.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 8:40pm
d