global

Keluarga dah boleh tinggal di UAE

Oleh Agensi

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal membenarkan warga asing di negara itu untuk membawa bersama ahli keluarga mereka, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM) memetik Pihak Berkuasa Persekutuan bagi Kewarganegaraan dan Identiti (ICA).

Resolusi kabinet yang diumumkan hari ini membolehkan warga asing membawa ahli keluarga (isteri atau suami, anak lelaki di bawah umur 18 tahun dan anak perempuan belum berkahwin) untuk tinggal bersama di UAE selagi jumlah pendapatan keluarga AED3,000 (RM3,357) sebulan dan majikan menyediakan tempat tinggal atau menerima elaun perumahan sebanyak AED4,000 (RM4,476).

Setiap penaja kepada ahli keluarga perlu menyediakan bukti tempat tinggal dan insurans kesihatan manakala ahli keluarga perlu membuat permemohonan pengenalan diri.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Asing dan Pelabuhan di ICA, Saeed Al Rashidi, berkata resolusi itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja asing di UAE dan Kabinet turut mengeluarkan arahan mengkaji kesan pelaksanaan langkah berkenaan.

Setiap permohonan perlu mengemukakan sijil perkahwinan yang disahkan dan sijil kelahiran anak diterjemahkan ke dalam bahasa Arab serta bukti pendapatan bulanan.

Sementara itu, isteri yang berhasrat membawa anak-anak pula mesti melampirkan perjanjian bertulis yang sah daripada suaminya.

“Warga asing membabitkan ibu tunggal mesti mengemukakan sijil perceraian atau kematian untuk membuktikan hak penjagaan,” kata Rashidi.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 10:04pm
d