global

Kena kecam

Oleh AFP

RAMALLAH: Seorang pemimpin Hamas yang menggalakkan orang Palestin dari seluruh dunia membunuh orang Yahudi mencetuskan kecaman bukan sahaja dari pegawai Israel malah pemimpin Palestin sendiri termasuk wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OBB).

Dalam satu video ucapan dalam bantahan pada Jumaat lalu, Fathi Hamad, seorang anggota Hamas dilihat menggesa orang Palestin dari seluruh dunia melancarkan serangan itu.

“Sekiranya kepungan ini tidak dihentikan, kami akan meletupkan di depan musuh kami. Dengan izin Tuhan. Letupan itu bukan hanya dilakukan di Gaza tetapi juga di Tebing Barat dan di luar negara,” katanya.

“Saudara kami di luar sana sedang bersedia, cuba bersedia, memanaskan badan.

“Tujuh juta orang Palestin di luar sana, cukup panaskan badan. Kami ada orang Yahudi di setiap tempat. Kami patut serang orang Yahudi di seluruh dunia dan bunuh mereka,” katanya.

Sementara itu, Ofir Gendelman jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, ucapan Fathi itu menunjukkan wajah sebenar Hamas.

“Hamas adalah dalang tunjuk perasaan di sempada Gaza. Hamas membina kilang jaket pengebom yang digunakan oleh pemuda Gaza. Hamas mahu membunuh orang Yahudi di seluruh dunia,” katanya.

Setiausaha agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat turut mengecam gesaan Fathi itu.

“Nilai-nilai murni orang Palestin adalah mencintai keamanan, keadilan dan kesamarataan. Kenyataan meloyakan oleh Fathi mengenai orang Yahudi tidak mewakili satu pun nilai itu,” tegasnya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 10:12pm
d