global

35 negara sokong dasar China di Xinjiang

Oleh Reuters

GENEVA: Arab Saudi, Russia dan 35 lagi negara menulis surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong dasar China di wilayah Xinjiang membabitkan etnik Uighurs.

Menurut Reuters yang mendakwa melihat surat terbabit Jumaat lalu, pendirian negara terbabit bertentangan dengan kritikan Barat terhadap China yang dikatakan menahan serta mendakwa jutaan etnik Islam Uighurs di Xinjiang.

“Dalam menghadapi cabaran keganasan dan pelampau, China mengambil tindakan anti-pengganas dan langkah wajar di Xinjiang, termasuk menubuhkan pusat vokasional dan latihan,” kata surat itu.

Menurut surat itu, keamanan kini pulih di Xinjiang dan hak asasi semua etnik terpelihara serta tiada serangan pengganas sejak tiga tahun lalu, membolehkan orang ramai menjalani kehidupan lebih gembira dan berasa selamat.

Surat terbabit turut ditandatangani duta dari banyak negara Afrika, Korea Utara, Venezuela, Cuba, Belarus, Myanmar, Filipina, Syria, Pakistan, Oman, Kuwait, Qatar, UAE dan Bahrain.

Beijing menafikan melakukan sebarang kesalahan hak asasi di wilayah berkenaan.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 7:42am
d