global

Polis buat aniaya

Oleh Agensi

FLORIDA: Selama bertahun-tahun seorang polis di Jackson, Florida, menganiaya ratusan orang dengan sengaja meletakkan dadah dalam kenderaan yang ditahannya untuk pemeriksaan sebelum menahan pemandu terbabit.

Akibatnya, ratusan pemandu yang ditahan dipenjara, dimasukkan ke pusat pemulihan, malah ada hilang hak penjagaan terhadap anak.

Timbalan Sheriff Zachary Wester, 26, ditahan tanpa jaminan Rabu lalu selepas perbuatannya terbongkar ketika memeriksa kenderaan pacuan empat roda Teresa Odom pada Februari tahun lalu.

Menurut news.com.au, Wester yang dipecat pada September lalu bakal berdepan hukuman penjara selama 30 tahun.

Dia berdepan beberapa pertuduhan pemalsuan membabitkan kegiatan haram, salah laku, memalsukan bahan bukti, memiliki bahan terlarang dan penahanan salah.

Bekas pegawai polis itu didapati memadamkan kamera pada badannya setiap kali menahan pemandu untuk pemeriksaan sebelum menemui sebungkus dadah dalam kenderaan mereka.

Namun, Wester terlupa menutup kamera ketika memeriksa kenderaan Teresa dan rakaman menunjukkan dia meletakkan bungkusan kecil mengandungi serbuk putih di bawah kerusi pemandu mangsa.

Sebelum itu, Wester mengarahkan Teresa berhenti kononnya lampu brek kenderaannya tidak berfungsi.

Antara mangsa tidak bersalah, Lance Sellers terpaksa menghabiskan setahun dalam pusat pemulihan, manakala Benjamin Bowling hilang hak penjagaan terhadap anak perempuannya.

CNN melaporkan, sekurang-kurangnya 11 orang menyaman Wester di mahkamah persekutuan atas dakwaan pelanggaran hak sivil.

Penolong Pendakwa Raya, Christina Pumphrey berkata, jumlah penangkapan pemandu memiliki dadah oleh Wester menimbul keraguan selain pemandu berkenaan diperiksa kerana kesalahan kecil.

Susulan pembongkaran kegiatan Wester, polis sudah menggugurkan sebanyak 119 kes, manakala 262 kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Penguatkuasaan Undang-undang Florida.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 7:10am
d