global

3 maut, 4 hilang sebelum memancing

Oleh Reuters

LABRADOR: Tiga maut manakala empat orang hilang selepas sebuah pesawat apungan terhempas di sebuah tasik di timur laut Kanada, kata syarikat penerbangan charter, semalam.

Kesemua penumpang berada dalam pesawat de Havilland DHC-2 Beaver yang dikendalikan syarikat Air Saguenay di Quebec.

Pesawat terhempas di antara wilayah Newfoundland dan Labrador di pantai timur Kanada.

Pesawat berkenaan membawa seorang juruterbang, dua pemandu arah dan empat penumpang dalam ekspedisi memancing. Ia dijangka mendarat pada jam 7 petang waktu tempatan di Tasik Crossroads berhampiran penginapan Three Rivers.

Syarikat penerbangan memulakan prosedur kecemasan termasuk menghantar pesawat kedua dalam misi pencarian selepas ia gagal tiba menjelang 8 malam.

Selepas sejam gagal menemuinya, syarikat itu memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat yang menghantar pesawat C-130 Hercules.

Pesawat terhempas ditemui pada jarak satu batu di luar pesisir Tasik Mistastin, sebuah tasik kawah gunung berapi di utara Labrador, sekitar 6.30 pagi semalam.

“Masih terlalu awal untuk menentukan apa yang berlaku, Kami berharap akan menemui mangsa hilang dengan segera,” kata presiden Air Saguenay, ketika lokasi empat penumpang hilang tidak diketahui.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 11:02am
d