global

Drama 'Raja Tose' berakhir

Oleh AFP

NEW DELHI: Seorang taikun restoran India digelar ‘Raja Tose’ meninggal dunia di hospital semalam, seminggu selepas memulakan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh suami wanita yang mahu diperisterikannya.

P Rajagopal, 71, didapati bersalah kerana membunuh lelaki berkenaan pada 2004, tetapi hanya memulakan hukuman penjaranya bulan ini selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terakhirnya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, dia merancang mengambil wanita terbabit sebagai isteri ketiga atas nasihat tukang tilik.

Bagaimanapun, wanita yang ketika itu berusia 20-an sudah berkahwin dan tidak melayan Rajagopal menyebabkannya membunuh suaminya.

Sebelum memulakan hukumannya, Rajagopal merayu dibenarkan dibiarkan bebas kerana masalah kesihatannya, malah ketika menyerah diri untuk dipenjara pada 9 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Madras, dia dibawa menaiki ambulans selain memakai topeng oksigen.

Semalam, Rajagopal meninggal dunia selepas dibawa ke hospital kerana masalah jantung.

Rajagopal membina kekayaannya daripada asal usul miskin sehingga mencipta nama dengan rangkaian restoran makanan India termasuk tose dan idli, yang kini melebihi 80 restoran di India dan seluruh dunia termasuk di London, Singapura, Sydney serta Stockholm.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 10:08am
d