global

Raja dadah kaut RM246.7b

Oleh AFP

SINDIKET dadah Asia Tenggara meraih lebih AS$60 bilion (RM246.7 bilion) setahun hasil jualan methamphetamine dan kemudian menggunakan wang itu untuk melabur dalam perniagaan kasino di rantau ini.

Menurut kajian Jabatan Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), lambakan dadah berkenaan di pasaran akan menyebabkan harganya menjadi murah yang akan merumitkan lagi krisis penagihan.

“Anggaran raja dadah di Asia Tenggara meraih lebih AS$60 bilion setahun,” kata wakil UNODC di Asia Tenggara, Jeremy Douglas, kepada media di Bangkok sempena pelancaran laporan itu kelmarin.

Rampasan methamphetamine sama ada dalam bentuk tablet dikenali sebagai yaba di Asia Selatan atau kristal yang lebih membahayakan dikenali sebagai ‘ais’ meningkat lima kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurut laporan itu, tahun lalu, 120 tan dadah meth dirampas di Asia Timur dan Asia Tenggara, meningkat 40 tan berbanding 2013.

Sebahagian besar dadah itu berasal dari ‘makmal’ di kawasan terpencil dan tiada undang-undang di negeri Shan Utara, Myanmar, yang digelar ‘Segi Tiga Emas’.

“Kawasan itu adalah pusat punca perdagangan dadah sintetik dunia,” kata Douglas,

Setiap tahun kira-kira AS$10 bilion (RM41.1 bilion) dibelanjakan untuk heroin dari Segi Tiga Emas dengan China sebagai pasaran terbesar namun dadah meth menjadi keutamaan raja dadah sekarang.

Kajian menunjukkan peningkatan jumlah sindiket dadah di Asia, termasuk menggunakan ahli kimia Taiwan, dibiayai mereka di Thailand, Macau dan China untuk menghasilkan dadah itu di Myanmar yang turut dipasarkan sehingga ke Australia dan New Zealand.

Wang hasil jualan dadah itu kemudian ‘dicuci’ melalui pelaburan dalam kasino yang semakin banyak beroperasi di kawasan Mekong, dari Myanmar dan Laos hingga ke Kemboja.

“Sindiket juga mencuci wang terbabit melalui perniagaan hotel dan hartanah,” kata Douglas.

Menurut laporan itu juga, kumpulan penjenayah juga meraih puluhan bilion ringgit setahun melalui perniagaan ubat, pakaian dan rokok tiruan selain pemerdagangan manusia yang sebahagian besarnya membabitkan remaja bawah umur untuk tujuan seks.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 10:34am
d