global

Boeing pertimbang henti pengeluaran 737 MAX

Oleh Agensi

CHICAGO: Boeing dilapor sedang menimbang untuk menghentikan pengeluaran pesawat siri 737 MAX, jika banyak syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan meneruskan larangan terbang pesawat terbabit selepas dua nahas.

Rabu lalu, syarikat itu melaporkan kerugian terbesarnya iaitu AS$2.9 bilion (RM12 bilion) bagi suku kedua 2019 berbanding keuntungan AS$2.2 bilion (RM9.1 bilion) dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut laporan BBC hari ini, Boeing menyatakan jika larangan di seluruh dunia itu berterusan, ia mungkin mengurang atau menghentikan terus pengeluaran 737 MAX.

Ketika Presiden Boeing, Dennis Muilenburg, yakin pesawat itu akan kembali beroperasi Oktober ini, AFP melaporkan syarikat penerbangan Amerika, Southwest Airlines, menyatakan pesawat 737 MAX miliknya tidak akan terbang sekurang-kurangnya sehingga Januari ini dan sudah memulakan rundingan mengenai pampasan yang perlu dibayar Boeing.

Southwest Airlines yang mempunyai 34 unit pesawat 737 MAX, menjadi syarikat penerbangan utama Amerika yang pertama memutuskan tidak menerbangkan pesawat itu sejak larangan terbang dikenakan Mac lalu.

Boeing sudah menyediakan AS$4.9 bilion (RM20.2 bilion) sebagai pampasan kepada pelanggannya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 11:44pm
d