global

Trump buat hal lagi

Oleh Agensi

WASHINGTON/KABUL: Kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa beliau boleh menang mudah perang di Afghanistan tetapi tidak mahu membunuh 10 juta orang serta mampu ‘menghapuskan Afghanistan dari muka bumi’ mengundang kemarahan banyak pihak, termasuk sekutunya, Presiden Ashraf Ghani.

“Saya boleh menang perang dalam masa seminggu. Saya tidak mahu membunuh 10 juta orang, Afghanistan boleh dihapuskan dari muka bumi.

“Saya tidak mahu mengambil laluan itu, saya mempunyai rancangan menang perang dalam tempoh singkat,” katanya selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, di Rumah Putih.

Perang Amerika di Afghanistan yang jumlah penduduknya 30 juta orang ialah konflik paling lama dalam sejarah Pentagon bermula dengan menawan negara itu pada 2001 selepas serangan 11 September.

Menurut Newsweek, kenyataan Trump itu menimbulkan kebimbangan pentadbiran Trump menimbang menggunakan senjata nuklear di Afghanistan.

Pada 2017, Trump menukar strategi untuk Afghanistan selepas menggugurkan bom konvensional terbesar Amerika, GBU-43/B atau dikenali sebagai Ibu Segala Bom terhadap kedudukan Taliban di Nangarhar.

Trump kemudian mengarahkan rundingan damai antara kerajaan Afghanistan dengan Taliban bagi menamatkan konflik itu ketika Taliban semakin berpengaruh dan kini menguasai lebih separuh wilayah negara itu yang membimbangkan bukan saja Amerika, malah Pakistan.

AFP melaporkan, berikutan kenyataan keras Trump itu, Presiden Afghanistan, Ghani melalui kenyataan pejabatnya menyatakan: “Republik Islam Afghanistan menuntut penjelasan kenyataan Presiden Amerika ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan.”

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 7:14am
d