global

Macam skrip filem

Oleh Agensi

NEW DELHI: Seorang wanita yang disangka mati kerana membunuh diri 14 tahun lalu dikesan bukan saja masih hidup, malah menjadi suspek apabila disyaki membunuh perempuan berpenyakit mental bagi menguatkan kisah kematiannya.

Wanita dikenali sebagai Bhikhiben itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, namun dilaporkan jatuh cinta dengan pemuda di kampungnya, 17 tahun lalu.

Kerana ingin bersama, Bhikhiben dan pasangannya, Vijubha Rathod membuat perancangan untuk lari bersama dari kampung itu, lapor India Today.

Pada 6 Februari 2005, Bhikhiben dan suaminya, Prakash Amritbhai Panchal bertengkar sebelum wanita itu masuk bilik untuk tidur.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, Bhikhiben mendapati isterinya sudah hilang menyebabkan seluruh keluarga mereka keluar mencarinya.

Mereka menemui mayat rentung seorang wanita yang memakai baju Bhiikhiben di belakang rumah dan menyangka suspek membakar mati dirinya. Laporan polis turut dibuat dan kematiannya disahkan bunuh diri.

Bagaimanapun, Bhikhiben ditemui hidup 14 tahun kemudian di Mehsana, Gujarat, selepas dilihat rakan Prakash yang kebetulan pergi ke situ untuk bekerja.

Selepas menyiasat perkara itu, rakan berkenaan mendapat tahu Bhikhiben sudah menukar identitinya dan kini tinggal di Mehsana bersama kekasihnya, Vijubha sebagai suami isteri.

Bhikhiben dan Vijubha ditahan susulan laporan polis.

Ketika disoal siasat, Bhikhiben berkata, Vijubha dan beberapa rakan menculik seorang wanita kurang upaya mental dan membunuhnya sebelum memakaikan baju Bhikhiben dan membakar mayat berkenaan terutama wajah supaya tidak dapat dikenal pasti.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 7:31am
d