global

Belasah harimau sampai mati

Oleh Agensi

NEW DELHI: Sekumpulan penduduk kampung bertindak kejam membelasah seekor harimau betina hingga mati bagi membalas tindakan haiwan itu menyerang dan mencederakan penduduk perkampungan Matiana di Uttar Pradesh.

Menurut laporan Daily Mail, perkampungan itu terletak bersebelahan hutan simpan yang menjadi kawasan perlindungan haiwan liar.

Dalam rakaman video itu, sekumpulan 40 penduduk membelasah harimau itu dengan buluh panjang tanpa menghiraukan haiwan malang itu yang mengerang kesakitan.

Harimau itu mati beberapa jam kemudian akibat cedera dipukul.

Menurut jurucakap jabatan perhutanan, penduduk terbabit berang selepas haiwan berkenaan menyerang dan mencederakan sembilan orang sebelum memburunya serta memasang perangkap.

Penduduk kampung itu juga tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran harimau berkenaan, malah mereka tidak membenarkan ia dibawa ke doktor haiwan selepas cedera dipukul.

“Jika harimau itu sempat dibawa kepada doktor haiwan, ia mungkin boleh diselamatkan,” kata Majistret Daerah Pillibhit, Vaibhab Srivastava.

Menurut Pusat Perlindungan Harimau Pillibhit, sejak 2012, sebanyak 16 harimau dan tiga harimau bintang ditemui mati dibunuh dalam hutan atau kawasan sekitarnya.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 8:00am
d