global

Makmal 'Frankenstein'

Oleh Agensi

ARIZONA: Serbuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terhadap sebuah pusat pengumpulan mayat manusia untuk kajian saintifik menghasilkan penemuan mengejutkan, baldi dipenuhi anggota tubuh dan organ manusia, termasuk alat kelamin serta kepala wanita dijahit pada perut mayat lelaki seperti ‘Frankenstein.’

Menurut laporan Daily Star, FBI menyerbu Pusat Sumber Biologi (BRC) di Arizona yang ditutup pada 2014 susulan siasatan penyeludupan haram dan penjualan anggota tubuh manusia.

Maklumat penemuan mengerikan itu didedahkan dalam dokumen pendakwaan terhadap pusat terbabit oleh 33 defendan yang mendermakan tubuh ahli keluarga mereka kepada pusat berkenaan untuk tujuan saintifik.

Sebaliknya, syarikat itu menjual anggota tubuh manusia kepada orang tengah bagi meraih keuntungan.

Bekas ejen FBI, Mark Cwynar menggambarkan situasi pusat berkenaan amat mengerikan apabila menemui baldi berisi kepala, lengan dan kaki manusia manakala peti sejuk beku dipenuhi kemaluan lelaki.

Ejen itu turut menemui kepala seorang wanita dijahit pada perut tubuh lelaki digantung pada dinding seperti Frankenstein. Selain itu, anggota tubuh manusia diletak bertindih tanpa pengenalan.

News.com.au melaporkan, senarai harga pada 2013 menunjukkan tubuh budak lelaki tanpa bahu atau kepala dijual dengan harga AS$2,900 (RM11,947) manakala seluruh tulang belakang berharga AS$950 (RM3,913).

Pada 2015, pemilik BRC Stephen Gore mengaku bersalah menjalankan perniagaan haram bagi tuduhan menggunakan anggota badan tanpa izin penderma.

Gore dihukum penjara setahun serta pemerhatian selama empat tahun dan denda AS$121,000 (RM498,505).

Plaintif mendakwa, ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia itu diperlekeh syarikat berkenaan yang memperdaya mereka kononnya mayat akan digunakan untuk penyelidikan penyakit dan sumbangan organ.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 8:52am
d