global

Sisa plastik bayar makanan

Oleh Reuters

NEW DELHI: Sebuah kafe yang akan dibuka di timur bandar Ambikapur di Surguja, Chhattisgarh, India membolehkan orang ramai menukarkan sisa plastik kepada makanan percuma.

Reuters melaporkan, ia dikenali sebagai ‘Garbage Cafe’ atau Kafe Sampah pertama di India yang menyajikan makanan berkhasiat kepada gelandangan dan orang miskin malah menggalakkan penduduk untuk menjaga kebersihan bandar itu, kata Datuk Bandar Ajay Tirkey.

“Semua orang dialu-alukan mendermakan plastik. Kafe ini akan dikendalikan kaum wanita dan persiapan sedang dibuat,” katanya kepada Reuters.

Penggunaan plastik dilarang di kebanyakan negeri, tetapi India masih menjana 26,000 tan sisa plastik setiap hari, menurut data kerajaan kerana ia sering dibuang di jalanan, longkang dan tapak pelupusan.

Kafe Sampah di India bakal dibuka pada bulan depan selepas ia dikenali di beberapa negara termasuk Kemboja dan Belgium.

Untuk satu kilogram sisa plastik, kafe itu menyajikan makanan berupa kari dengan nasi, lentil dan papadom, kata Tirkey.

Bagi setengah kilogram pula, pemungut sampah menerima sarapan samosa, donat lentil atau roti sumbat.

Sistem pengurusan sampah itu ditubuhkan pada 2015 dan dikendalikan kaum wanita yang pergi ke setiap rumah untuk mengumpulkan plastik kitar semula, banyak membantu dengan menjadikan Ambikapur sebagai salah sebuah bandar terbersih di India.

Bandar itu juga yang pertama di India membina jalan raya diperbuat dari plastik pada 2015, bahkan memperoleh 1.2 juta rupee (RM71,614) sebulan hasil jualan plastik dan kertas kitar semula kepada perusahaan swasta, kata Tirkey.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 8:54am
d