global

Ribuan anggota keselamatan padam api hutan

Oleh Reuters

JAKARTA: Ribuan tentera dan polis dikerahkan untuk memadamkan kebakaran hutan susulan darurat di enam wilayah di Sumatera dan Kalimantan.

Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan Agus Wibowo berkata, seramai 5,679 anggota tambahan polis, tentera dan dari agensi itu dihantar ke lima wilayah.

Pesawat khas pengeboman air, 17 helikopter dengan 10 lagi dari firma swasta di Riau dihantar untuk operasi memadamkan kebakaran.

Bagi menghentikan kebakaran dan memelihara tanaman, pihak berkuasa akan menggunakan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan.

Kawasan darurat adalah Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah yang mempunyai tanah gambut luas yang terdedah kepada kebakaran.

Wibowo berkata, jumlah kawasan ‘panas’ semakin meningkat dengan 124 daripadanya di seluruh Indonesia cenderung mencetuskan kebakaran.

Di Pekanbaru, Riau, segelintir guru dan murid memakai topeng muka ke sekolah dan mereka dinasihati mengehadkan aktiviti luar kelas disebabkan jerebu, lapor agensi berita Antara.

Pada musim kemarau, petani Indonesia membersihkan kawasan tanaman yang boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal, seterusnya membawa jerebu ke Malaysia dan Singapura.

Indonesia berdepan tekanan di peringkat global untuk menghentikan pembakaran hutan bagi menanam kelapa sawit, terutamanya selepas kebakaran dahsyat pada 2015.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 8:36pm
d