global

Kebakaran di tiga kawasan di Bubon

Oleh Agensi

MEULABOH (ACEH BARAT): Kebakaran hutan dan tanah gambut yang terjadi sejak beberapa hari di Bubon, wilayah Aceh Barat semakin tersebar kerana cuaca panas dan angin.

Kawasan utama kebakaran kini merebak di tiga buah kampung sehingga mencapai sekitar 33 hektar.

“Kebakaran di Bubun semakin meluas, dan kini ia merebak di kawasan baru di kampung Pelanteu,” kata Ketua Polis Bubon, Iptu Utra P kepada Kompas.com.

Utra berkata kawasan terbakar itu meliputi tanah kosong yang ditanam dengan pokok sawit dan getah oleh penduduk kampung.

“Polis sudah memeriksa dengan kesemua pemilik tanah dan mereka tidak mengetahui punca kebakaran itu,” katanya.

Kebakaran di kampung Seneubok Trap meliputi kawasan seluas 20 hektar, di Suak Pangkat (10 hektar) dan di Pelanteu (tiga hektar).

Keadaan kebakaran yang luas masih sukar ditangani akibat keupayaan Lembaga Kebangsaan Pengurusan Bencana (BPBD) masih terhad manakala pihak polis tidak dilengkapi dengan peralatan dan kekurangan sumber air.

Sementara itu, selain Aceh Barat, lima lagi wilayah di Indonesia turut menghadapi kebakaran hutan.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 2:36pm
d