global

Mexico mahu ekstradisi penembak Walmart

Oleh Reuters

MEXICO CITY: Peguam Negara Mexico mempertimbangkan litigasi bagi menuduh kejadian tembakan di Walmart El Paso, Texas sebagai serangan pengganas selepas tujuh daripada 20 mangsa maut adalah rakyat negara itu.

Menteri Luar Negeri, Marcelo Ebrard pada sidang media hari ini berkata, tindakan undang-undang itu boleh mengekstradisi penyerang ke Mexico.

“Bagi Mexico, individu terbabit adalah pengganas. Kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang berkaitan dengan senjata kerana orang yang terbunuh adalah rakyat Mexico,” katanya.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam satu kenyataan menemui manifesto suspek yang membuktikan serangan itu dilakukan kerana perkauman.

Ebrard berkata, kementeriannya akan meminta maklumat dari Amerika Syarikat mengenai cara penembak mendapatkan senjatanya dan sama ada pihak berkuasa negara terbabit menyedari pembelian itu.

Beliau akan melawat El Paso esok dan turut menamakan tujuh mangsa berkenaan yang kebanyakannya berasal dari negeri di sempadan Amerika Syarikat dengan Mexico.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 12:09pm
d