global

Tak sayang nyawa betul

Oleh Agensi

CALIFORNIA: Seorang penunggang motosikal menarik perhatian ramai apabila dia menggunakan telefon bimbit dengan kedua-dua tangannya semasa dikejar polis pada kelajuan 120mph.

Daily Mail melaporkan, aksi merbahaya penunggang motosikal itu dirakam oleh helikopter berita Newschopper4 Bravo ketika sedang bersiaran langsung keadaan lalu lintas di lebuh raya 405 Freeway di Huntington Beach pada Sabtu lalu sekitar 9.40 malam (waktu tempatan).

Ketika penunggang dikejar Jabatan Polis Huntington Beach, dia dilihat melepaskan tangannya dari memegang hendal motosikal untuk menghantar dan membalas teks mesej sambil menuju ke arah lebuh raya.

Dia kemudiannya meletakkan telefon itu kembali lalu memegang hendal untuk mengelak kenderaan lain.

NBC Los Angeles melaporkan, pada awalnya, pihak polis mengejar dua penunggang motosikal dan mereka saling berbalas mesej selepas terpisah ketika cuba mengelak dari ditangkap.

Seorang penunggang dikatakan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles manakala rakannya masuk ke lebuh raya berlainan.

Seorang penunggang berjaya ditangkap tetapi rakannya dapat melarikan diri.

Tidak dinyatakan mengapa pihak polis mengejar penunggang motosikal berkenaan.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 9:24pm
d