global

Danny Trejo selamatkan budak terperangkap

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Pelakon Hollywood, Danny Trejo, membantu menyelamatkan seorang budak lelaki terperangkap dalam sebuah kereta yang terbalik akibat perlanggaran lalu lintas di Los Angeles, semalam.

Trejo, 75, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke sebuah bengkel di kejiranan Sylmar L.A. apabila sebuah motosikal yang ditunggang laju melanggar lampu isyarat merah sehingga bertembung dengan kereta lain lalu terbalik di sebuah simpang, katanya pada stesen televisyen KABC-TV.

Budak lelaki itu duduk di kerusi kereta di bahagian belakang manakala neneknya di tempat pemandu. Kedua-dua mereka terperangkap dalam kenderaan terbalik, yang hancur sebahagiannya.

Trejo bersama seorang wanita, Monica Jackson saling membantu menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum kakitangan kecemasan tiba di tempat kejadian, kata mereka.

Monica merangkak di sebelah sisi kenderaan untuk melepaskan kanak-kanak itu dari kerusi kereta manakala Trejo menariknya keluar dari sisi lain.

Pelakon itu berkata dia terpaksa menenangkan budak itu sebelum membantunya.

“Dia panik dan saya kata padanya, ‘kita perlu gunakan kuasa adiwira,’ dan dia pun menjerit, ‘kuasa adiwira’ lalu kami berteriak bersama-sama sebelum saya mengeluarkannya,” kata Trejo.

Trejo menemani budak lelaki itu selepas dia diselamatkan sehingga neneknya dapat dikeluarkan dengan selamat oleh pekerja penyelamat.

KABC-TV melaporkan tiada yang cedera parah, tetapi tiga orang termasuk nenek dan budak lelaki itu dibawa ke hospital untuk penilaian perubatan.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 1:30pm
d