global

2.5 juta jemaah tunai haji tahun ini

Oleh AFP

MAKKAH: Lebih dua juta umat Islam memulakan ibadat haji hari ini ketika tuan rumah, Arab Saudi berusaha menghalang pengaruh ketegangan di Teluk.

Ibadat haji tahun ini berlangsung di tengah ketegangan Teluk berikutan siri serangan terhadap kapal tangki, dron ditembak jatuh dan laluan maritim dipintas.

Riyadh menyalahkan musuh tradisinya Tehran berikutan serangan ke atas kapal dagang, tuduhan yang segera dinafikan Iran.

Agensi berita Tasnim melaporkan, walaupun tanpa hubungan diplomatik antara kedua negara, kira-kira 88,500 jemaah Iran berada di negara itu untuk menunaikan ibadat haji tahun ini.

Seperti beberapa tahun sebelumnya, pihak berkuasa Arab Saudi menghadapi tekanan untuk menjaga kepentingan umat Islam menunaikan haji dan pada masa sama menyelesaikan masalah politik.

Menurut media tempatan, sejumlah 2.5 juta jemaah majoriti dari luar negara, bakal melaksanakan haji tahun ini.

“Lebih daripada 1.8 juta visa dihantar dalam talian tanpa memerlukan orang tengah. Ia berjaya dilakukan,” kata pegawai haji, Hatim Hassan Qadi.

Namun Hassan Qadi mengakui, tidak ramai rakyat Qatar menunaikan haji.

Agensi berita SPA melaporkan, kementerian haji Arab Saudi menyalahkan Qatar kerana mempolitikkan isu haji hingga menghalang rakyatnya menunaikan rukun Islam itu.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 3:39pm
d