global

Tak pasal-pasal kena pukul

Oleh Agensi

NEW DELHI: Malang seorang remaja di India apabila dia digantung kaki ke atas sebelum dipukul sekumpulan lelaki selepas dituduh mencuri telefon bimbit.

Satu rakaman video yang tular menunjukkan remaja itu digantung dari sebatang pokok sebelum dipukul di kepala dalam kejadian di bandar Haridwar di negeri Uttarakhand.

Polis semalam memberitahu, remaja itu yang dikenali sebagai Jufan tidak terbabit dalam kecurian berkenaan dan mangsa sudah membuat laporan polis.

Jufan memberitahu agensi berita ANI, ketika kejadian dia sedang bekerja sebelum sekumpulan enam hingga tujuh lelaki mengheretnya keluar.

“Mereka menuduh saya mencuri telefon bimbit sebelum memukul saya dengan kayu.

“Mereka kemudiannya menggantung saya dalam keadaan terbalik sebelum memukul saya selama beberapa jam,” katanya yang mengalami kecederaan pada badan dan kaki.

Polis berkata, pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan masih belum membuat tangkapan.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 10:09pm
d