global

Tangguh sebab kentut

Oleh Mail Online

NAIROBI: Sesi dewan perwakilan sebuah negeri di Kenya terpaksa ditangguhkan sementara akibat bau kentut memenuhi dewan dengan wakil rakyat saling menuduh siapa yang menyebabkan bau terlalu busuk itu.

Perbalahan tercetus ketika sidang dewan perwakilan Homa Bay Rabu lalu, apabila bau busuk tiba-tiba memenuhi dewan itu.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, wakil rakyat yang tidak tahan dengan bau busuk berkenaan kemudiannya saling menuduh siapa yang mencemarkan udara.

“Saya tidak akan melakukan perkara itu di depan kamu semua,” kata seorang wakil rakyat.

Keadaan itu menyebabkan speaker dewan segera menangguhkan perbahasan dan mengarahkan pewangi udara disembur untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Ambil apa sahaja pewangi yang ada di pejabat sama ada bau vanila atau strawberi,” katanya yang dipetik media Kenya.

Perbahasan itu terganggu selama 10 minit dan speaker memutuskan mereka tidak boleh terus berada dalam dewan dengan bau yang busuk.

Menurut laporan media tempatan, keadaan diburukkan lagi dengan cuaca panas dan beberapa wakil rakyat mengipas menggunakan kertas untuk menyejukkan badan.

Perbahasan itu disambung semula selepas petugas menyembur beberapa botol pewangi udara untuk menghilangkan bau busuk.

Ia kejadian kedua membabitkan persidangan parlimen atau dewan perwakilan negeri di Kenya selepas seorang ahli parlimen wanita dihalau keluar dari Parlimen awal minggu ini, kerana membawa anaknya yang masih bayi.

Zuleikha Hassan diarahkan keluar dari Dewan Nasional pada Rabu lalu kerana membawa anaknya yang berusia lima bulan selepas dia gagal mencari orang untuk menjaga bayinya itu.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 8:01am
d