global

Dipenjara kerana menyumpah di lapangan terbang

Oleh Agensi

MUSCAT: Hasrat seorang jurulatih menyelam British untuk melihat ibunya yang sakit tenat tidak kesampaian apabila dia ditahan dalam penjara kerana menyumpah di Lapangan Terbang Muscat, Oman.

Bulan lalu, Les Bragg, 41, berada di Lapangan Terbang Muscat selepas transit dari Filipina ke United Kingdom.

Lapor Daily Mail, Bragg menyumpah sebaik mendengar pengumuman penerbangannya ke Heathrow, London ditunda.

Difahamkan ketika kejadian, polis mungkin terhidu bau arak dari Bragg yang dilaporkan minum arak ketika dalam penerbangan ke Oman.

Bragg kini ditahan di penjara Arzat di Salalah dan dijangka berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Rakan Bragg, Laura Weston menubuhkan laman bagi mengutip derma dari orang awam selepas peguam di Oman meminta bayaran sebanyak £22,000 untuk membebaskan lelaki itu.

Kerajaan British dalam kenyataan mengingatkan rakyatnya, kata-kata kesat dan kelakuan jelek dianggap perbuatan lucah di Oman.

Minum arak atau mabuk di tempat awam juga salah di sisi undang-undang di negara itu.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 2:03pm
d