global

Tersenyum kena dakwa

Oleh AFP

OSLO: Seorang lelaki yang menembak mati adik perempuan tirinya sebelum melepaskan tembakan di sebuah masjid Oslo direman semalam dan dinamakan sebagai suspek bunuh serta melakukan tindakan pengganas.

Philip Manshaus, 21, hadir ke mahkamah dengan wajah penuh lebam dan bengkak kelihatan tersenyum ketika wajahnya dirakam jurugambar.

Kejadian di Masjid Al-Noor itu berlaku ketika serangan pengganas kulit putih meningkat di seluruh dunia.

Manshaus secara rasmi dinamakan sebagai suspek pembunuh adik perempuan tirinya yang berusia 17 tahun dan melakukan tindakan pengganas di Masjid Al-Noor pada Sabtu lalu.

Di Norway, seseorang itu secara rasmi dinamakan sebagai suspek sebelum didakwa.

Manshaus masuk ke dalam mahkamah sambil tersenyum ke arah kamera dan dia memakai baju gelap serta rambut dipotong pendek.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu ditahan reman selama empat minggu.

Manshaus dituduh masuk ke masjid di pinggir Baerum, Oslo dengan membawa sekurang-kurangnya dua senjata api dan melepaskan tembakan sebelum ditangkap seorang lelaki berusia 65 tahun.

Ketika kejadian hanya tiga jemaah berada di dalam masjid.

Beberapa jam selepas serangan itu mayat seorang wanita muda ditemui di sebuah rumah di Baerum dan polis mengesahkan mangsa adalah adik tiri Manshaus.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 12:11am
d