global

Keluarga ampunkan datuk bandar bunuh isteri

Oleh AFP

TEHERAN: Bekas datuk bandar Teheran yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh isterinya, terselamat daripada hukuman itu kerana diampunkan keluarga mangsa.

Mohammad Ali Najafi, 67, dijatuhkan hukuman mati bulan lalu, selepas didapati bersalah menembak mati isteri keduanya, Mitra Ostad, 35, di rumah mereka di sini, pada 28 Mei.

Menurut kenyataan di Instagram semalam, abang wanita berkenaan berkata, keluarga mereka memutuskan mengampunkan Mohammad Ali.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, peguam keluarga wanita itu, Mahmoud Hajiloui, mengesahkan pengampunan itu.

Dalam tulisan di Instagram, abang wanita itu memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Allah menyayangi mereka yang berbuat kebaikan.”

“Bapa, ibu saya dan Mahyar (anak lelaki adik perempuannya itu) mengampunkan Mohammad Ali Najafi selepas kami semua bermesyuarat.

“Kami gembira kerana tidak melaksanakan hukuman demi kemuliaan adik saya bagi membalas pembunuhannya.

“Kami berharap Mohammad Ali Najafi menghabiskan sisa hidupnya menyucikan diri,” tulis abang mangsa.

Mohammad Ali masih berada dalam penjara selepas dihukum penjara dua tahun kerana memiliki senjata api tanpa lesen. Namun, belum dapat dipastikan sama ada dia akan menjalani hukuman bagi kesalahan membunuh itu atau tidak berikutan pengampunan keluarga mangsa.

Mohammad Ali, pakar matematik dan profesor, pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Presiden Hassan Rouhani serta menjadi menteri pendidikan sebelum dilantik Datuk Bandar Teheran pada 2017.

Ketika perbicaraan, dia mendakwa mahu menakutkan isterinya itu ketika mereka bertengkar tetapi melepaskan tembakan tanpa sengaja yang membunuh mangsa.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 7:37am
d