global

Spiderman Perancis kibar bendera keamanan

Oleh AFP

HONG KONG: ‘Spiderman Perancis’ Alain Robert membuat kejutan dengan memanjat pencakar langit di tengah Hong Kong, hari ini untuk mengibarkan ‘bendera keamanan’ sebagai simbolik bagi meredakan ketegangan akibat pergolakan politik.

Pengembara berusia 57 tahun itu memanjat Cheung Kong Center setinggi 68 tingkat di kawasan perniagaan utama Hong Kong dalam keadaan cuaca panas dan lembap pagi tadi.

Semasa pendakian, Robert memasang kain rentang yang memaparkan bendera Hong Kong dan Cina, serta tangan sedang berjabat.

Sebelum pendakian, menerusi satu kenyataan Robert berkata mesej pendakiannya sebagai rayuan segera ke arah perdamaian dan perundingan antara penduduk Hong Kong dan kerajaan mereka.

“Saya berharap cara itu dapat meredakan ketegangan dan melahirkan senyuman,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 1:23pm
d