global

Jakarta makin tenggelam

Oleh AFP

JAKARTA: Ibu negara Indonesia antara bandar raya paling pantas tenggelam menyebabkan pakar alam sekitar memberi amaran satu pertiga mungkin tenggelam menjelang 2050 jika aktiviti pengambilan rizab air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan.

Langkah penjagaan alam sekitar sedia ada hanya memberi sedikit kesan, memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan drastik, termasuk memindahkan pusat pentadbiran Indonesia ke lokasi baharu.

Ia dianggap antara cara pemuliharaan dan mungkin jalan penyelamat terakhir kepada ibu kota berpenduduk 10 juta orang itu.

Dibina dalam zon gempa bumi di kawasan paya, berhampiran 13 sungai, tekanan terhadap asas bandar raya ini semakin kuat akibat pembangunan luar kawalan, lalu lintas sesak dan perancangan bandar yang buruk.

Jakarta tidak memiliki sistem bekalan air di utara menyebabkan industri tempatan dan jutaan penduduk memanfaatkan air bawah tanah tanpa kawalan.

Pengeluaran berleluasa air bawah tanah menyebabkan ikatan tanah longgar, menjadikan Jakarta mendap sebanyak 25 sentimeter setahun di sesetengah kawasan, dua kali ganda purata global untuk bandar besar tepi pantai.

Hari ini, sesetengah kawasan di bandar raya itu berada kira-kira empat meter di bawah paras laut, sekali gus mengubah persekitaran, menyebabkan jutaan penduduk terdedah kepada bencana alam.

Banjir menjadi bencana biasa ketika musim hujan menjadi semakin buruk apabila paras air laut meningkat akibat pemanasan global.

Ketika Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo meneruskan rancangan memindahkan ibu kota ke Kalimantan, pihak berkuasa tempatan masih terdesak mencari penyelesaian.

Projek membina pulau buatan di teluk Jakarta yang akan bertindak sebagai penampan Laut Jawa serta tembok besar tepi pantai bernilai AS$40 bilion (RM167.04 bilion) tidak menjamin dapat menyelesaikan masalah ibu kota tenggelam itu.

Tembok konkrit penghadang yang dibina sebelum ini sudah merekah dan menunjukkan tanda semakin tenggelam apabila air menyusup melaluinya di kawasan kejiranan berisiko tinggi.

“Membina tembok bukan penyelesaian kekal. Kita perlu ke langkah berikutnya dan memperbaiki sistem pengurusan air,” kata Heri Andreas, saintis bumi di Institut Teknologi Bandung.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:02am
d