global

1 maut, 9 cedera bertempur di lombong

Oleh AFP

LUBUMBASHI: Seorang wanita terbunuh manakala sembilan lain cedera dalam pertempuran antara pelombong dan pasukan keselamatan di lombong milik warga China, di tenggara Republik Demokratik Congo (DRC), kata satu sumber hari ini.

Perbalahan berkenaan berlaku di konsesi milik Tenke Fungurume Mining (TFM) antara syarikat perlombongan terbesar di DRC dan pengeluar tembaga dan kobalt terkemuka di dunia, kira-kira dua bulan selepas tentera DRC mengusir lebih 10,000 pelombong haram dalam satu operasi besar-besaran.

“Wanita berusia 40-an berkenaan terbunuh dan sembilan lain cedera terkena tembakan rambang dalam operasi memulihkan ketenteraman awam”, kata Menteri Pedalaman untuk wilayah Lualaba, Deogracias Kapenda kepada AFP.

Perbalahan berlaku selepas polis merampas sebuah lori dipenuhi dengan mineral dan dianggap pelombong sebagai serangan ke atas mata pencarian mereka.

Pelombong mendakwa polis sengaja merampas galian hasil perlombongan mereka dan dijual kepada orang tengah.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 9:58pm
d