global

Lelaki tertekan, ancam pecah rekod bunuh

Oleh Agensi

FLORIDA: Seorang lelaki Florida yang mengalami tekanan kerana hilang pekerjaan dan teman wanitanya, ditahan polis selepas dia membuat ancaman mahu melakukan serangan tembakan besar-besaran pada hujung minggu ‘untuk memecahkan rekod pembunuhan dunia.’

New York Post melaporkan, melalui kiriman mesej kepada bekas kekasihnya, Tristan Scott Wix, 25, mengaku mahu membunuh 100 orang yang boleh membuat dia berasa lega untuk melepaskan kemarahannya.

“Saya mahu menembak secara rambang ke arah orang ramai dari jarak 4.8 meter selain memecahkan rekod pembunuhan paling ramai dilakukan di dunia,” kata lelaki itu, menurut polis.

Wix yang tinggal di Daytona Beach, ditahan Jumaat lalu di Volusia County atas dakwaan membuat ancaman dengan melakukan serangan tembakan besar-besaran, kata pejabat sheriff tempatan menerusi siaran akhbar.

Menurut polis, Wix tidak tahu yang dia boleh ditahan polis kerana mesej kebencian dan ugutannya itu.

“Sekolah adalah sasaran lemah. Saya lebih cenderung tembakan rambang terhadap orang ramai malah lokasinya juga sudah ada,” katanya.

Pesanan itu disusuli emoji ketawa sehingga menangis.

Wix berkata, ucapannya itu mungkin dilihat seperti sekadar meluahkan perasaan tetapi dia sebenarnya mahu melakukan tembakan itu sekadar suka-suka dan bukannya dianggap gila.

Bekas kekasih Wix menunjukkan mesej itu kepada pihak berkuasa yang membawa kepada penahanannya tanpa sebarang kejadian.

Walaupun pada awalnya Wix mengaku tidak memiliki sebarang senjata api, polis dilaporkan menemui satu raifal memburu dan 400 peluru di pangsapuri Wix.

“Latar belakang lelaki ini bersamaan dengan profil penembak.

“Dia hilang pekerjaan dan teman wanita, menyebabkan dia dalam tekanan. Dengan peluru dan senjata membuatkan dia mahu dikenali sebagai pembunuh yang paling produktif dalam sejarah Amerika,” kata Sheriff Volusia County, Michael Chitwood kepada CNN.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:04am
d