global

Jambi 'lenyap'

Oleh Agensi

JAMBI: Pihak berkuasa Jambi mengumumkan sekolah ditutup sehingga seminggu bermula kelmarin disebabkan jerebu yang melanda bandar itu sejak kebelakangan ini.

Datuk bandarnya, Syarif Fasha berkata, tempoh penutupan bergantung kepada tahap usia murid, lapor portal berita Republika.

“Bagi kanak-kanak prasekolah dan tadika, cuti diberikan selama seminggu. Sementara itu, sekolah rendah sehingga darjah empat pula ditutup tiga hari dan akan dipertimbangkan semula berdasarkan keadaan jerebu selepas itu,” katanya di Jambi, kelmarin.

Menurutnya, murid sekolah rendah darjah lima dan enam pula akan dikurangkan tempoh pembelajaran. Penutupan tidak terpakai untuk peringkat menengah, tetapi pihak sekolah diminta tidak mengadakan aktiviti di luar kelas.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Muarojambi mengedarkan 6,000 topeng sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan respiratori akut.

“Sebanyak 2,000 diberikan kepada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) manakala 4,000 lagi kepada Pusat Kesihatan Masyarakat yang paling terkesan akibat jerebu,” kata setiausahanya, Yes Isman.

Aktiviti penduduk Jambi terganggu akibat jerebu teruk susulan kebakaran hutan di kawasan sekitar. Malah pada 17 dan 18 Ogos lalu, partikel debu dan tahap jerebu di bandar itu diklasifikasikan sebagai ‘bahaya sehingga amat bahaya.’

Tribunnews melaporkan jarak penglihatan pada Khamis lalu cuma 4.2 meter manakala langit merah selain penduduk dihujani abu.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:08am
d