global

Rashida akur permintaan nenek

Oleh AFP

WASHINGTON: Nenek tidak bersetuju dengan syarat dikenakan Israel menyebabkan Ahli Kongres Amerika Syarikat, Rashida Tlaib, membatalkan kunjungannya ke Palestin, sesuatu yang amat menyedihkan kerana beliau benar-benar mahu menemui neneknya itu di Tebing Barat.

Menurut Rashida, beliau bercadang menerima syarat Israel tidak terbabit dalam aktiviti politik di sana agar boleh ke Tebing Barat bagi menemui neneknya yang berusia sekitar 90 tahun.

“Nenek berkata, impian dia ialah mahu melihat saya bebas, jadi kenapa saya kembali ke sana untuk ‘dikurung’ dan tunduk.

“Menurutnya, kejayaan saya menjadi ahli kongres buat pertama kami menjadikannya bangga dan mengangkat maruahnya.

“Jadi, sambil menangis pada jam 3 pagi, kami memutuskan saya tidak ke sana,” katanya.

Minggu lalu, Rashida dan Ilhan Omar, dua wanita Islam pertama terpilih sebagai Ahli Kongres Amerika, merancang mengunjungi Israel dan Palestin serta dijangka bertemu aktivis serta pegawai kerajaan kedua-dua pihak.

Namun, Khamis lalu, kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, tunduk kepada desakan Presiden Donald Trump supaya melarang mereka, mendakwa kedua-dua wanita itu menyokong boikot terhadap Israel.

Beberapa jam kemudian, Israel menawarkan kebenaran kepada Rashida untuk melawat neneknya jika menerima syarat tidak terbabit dalam aktiviti politik, termasuk tidak menemui aktivis serta tidak mempromosi boikot terhadap Israel.

Dalam sidang media di kediaman St Paul, Minnesota, semalam, Rashida dan Ilhan menuduh Israel tunduk kepada Trump dan menyembunyikan keadaan sebenar Palestin.

Menurut Rashida, menjadi kebiasaan penggubal undang-undang Amerika melawat Israel dan bertemu aktivis.

“Perkara luar kebiasaan ialah menghalang Ahli Kongres memasuki sesebuah negara jika tidak bersetuju dengan peraturan ketat,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:37am
d