global

Denmark terkejut keputusan Trump

Oleh AFP

COPENHAGEN: Denmark terkejut dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menangguhkan lawatan negara selepas dimaklumkan wilayah berautonomi, Greenland, tidak akan dijual kepadanya.

Keluarga diraja Denmark menyuarakan rasa ‘terkejut’ dengan keputusan Trump itu, manakala ramai pengulas menganggap pemimpin berkenaan tidak ubah seperti penjajah kolonial.

Trump membuat kenyataan di Twitter mengumumkan penangguhan pertemuan yang sepatutnya diadakan dua minggu lagi dengan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, seterusnya menunjukkan kesungguhannya mahu membeli Greenland walaupun pada asalnya idea itu dianggap ramai pihak sebagai sekadar satu gurauan.

Keputusan Trump itu mendapat pelbagai reaksi di Denmark, malah tidak kurang menganggapnya satu penghinaan, malah anggota pembangkang dari Parti Konservatif, Rasmus Jarlov menyoal sama ada AS mahu menjual mana-mana wilayahnya seperti Alaska.

Bagaimanapun, akhbar Jyllands-Posten dalam komentarnya menulis, tindakan Trump itu secara tidak langsung memanfaatkan Denmark kerana mengetengahkan nilai geopolitik Greenland.

“Mette Frederiksen diberi peluang menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan Greenland memang diputuskan di Copenhagen. Seterusnya ini memperkukuh kedudukan Denmark dari segi strategi di Artik,” katanya.

Denmark menjajah pulau dengan keluasan dua juta kilometer persegi pada kurun ke-18. Ia mempunyai kira-kira 57,000 penduduk, kebanyakannya masyarakat asli Inuit.

Bagaimanapun, ia juga lokasi pangkalan udara AS, Thule, yang memainkan peranan penting ketika Perang Dingin sebagai barisan pemantau utama terhadap serangan dari Russia.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 9:49pm
d