global

Remaja tinggi melampau

Oleh Agensi

PEKANBARU: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di Rokan Hilir, Riau ini dianggap sebagai remaja tertinggi di Indonesia selepas dia memiliki ketinggian mencecah 2.6 meter.

Kompas.com melaporkan, akibat ketinggian luar biasa itu, Armenda Jamel mengalami kesukaran menjalani kehidupan harian termasuk sukar untuk masuk dan keluar dari rumahnya sendiri.

Armenda atau lebih dikenali sebagai Emen adalah anak sulong daripada dua beradik daripada pasangan Joko Kuswoyo, 43, dengan Miharni, 43.

Joko berkata, Emen mula menunjukkan pertumbuhan luar biasa ketika berusia 10 tahun lagi apabila ketinggian anaknya sudah setinggi lelaki dewasa.

“Saya hairan dengan perkembangan Emen kerana dalam keluarga kami tiada siapa yang memiliki ketinggian seperti itu,” katanya.

Katanya, akibat terlalu tinggi dia terpaksa membuang pintu di bilik tidur Emen kerana kepalanya sering terhantuk dan untuk keluar dari pintu rumah remaja itu terpaksa menundukkan kepala.

“Baju dan kasut sekolah Emen juga terpaksa ditempah kerana tiada kedai yang menjual saiz pakaian serta kasut sebesar itu,” katanya.

Kata Joko, akibat bentuk fizikal yang berbeza dengan remaja lain menyebabkan Emen kurang keyakinan diri dan sukar bergaul dengan rakan sebayanya.

“Emen seorang yang pendiam dan dia lebih gemar duduk di rumah serta membaca buku,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan itu menyebabkan Emen menjadi perhatian orang ramai dan ada yang datang ke rumah semata-mata untuk bertemu dengannya.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 6:30am
d