global

3 maut, 300 dipindahkan dari feri terbakar

Oleh Reuters

JAKARTA: Penyelamat Indonesia mengesahkan menemui tiga mayat manakala 300 penumpang dipindahkan dari kapal feri yang terbakar di luar pantai pulau Jawa, kata seorang pegawai, hari ini, yang menurutnya jumlah penumpang itu jauh lebih banyak berbanding yang dilaporkan sebelum ini.

Pegawai kerajaan, Syahrul Nugroho memberitahu saluran televisyen TV One berkata, kejadian itu membabitkan feri KM Santika Nusantara dalam perjalanan antara bandar kedua terbesar di Surabaya ke Balikpapan di Kalimantan, petang kelmarin.

Laporan awal menyebut, seramai 277 penumpang berada di atas kapal.

Menurut kenyataan Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas), hari ini mengesahkan terdapat 303 penumpang di atas kapal dan tiga daripadanya terkorban.

“Operasi mencari diteruskan hari ini,” kata pegawai Basarnas, Budi Prasetyo kepada Reuters sambil menambah pihaknya sudah mengerahkan kapal di pelabuhan berhampiran dan pesawat untuk melakukan pemantauan di udara.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 3:29pm
d