global

Culik, lacur gadis

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang selebriti Internet yang mempunyai empat juta pengikut di laman web perkongsian video, ditahan polis di timur China selepas menyembunyikan diri selama beberapa bulan atas dakwaan menculik gadis muda dan memaksa mereka melacur.

Gao Fei, 28, ditahan selama seminggu di Zhuji, wilayah Zhejiang sementara polis meneruskan siasatan selepas pencarian ke atasnya dibuat sejak Mac lalu, lapor Qianjiang Evening News.

Polis Zhuji berkata, Gao disyaki terbabit dalam pelbagai kes menculik kanak-kanak bawah umur dan memaksa mereka menjadi pelacur, menurut laporan itu.

Gao ditemui di kampungnya di Rongjiang selepas memuat naik video kelahiran anak lelakinya yang dibedung Hospital Wanita Wilayah Rongjiang dengan latar belakangnya pemandangan dan pergunungan ke Weibo.

Pegawai polis menemui pistol palsu, pisau, telefon bimbit dan kad pengenalan Gao. Polis memujuk ibu bapanya untuk Gao menyerah diri tetapi lelaki itu dengan angkuh dilaporkan berkata: “Anda tidak akan dapat menangkap saya, walaupun saya hanya memakai selipar.”

Dia dipintas polis ketika pulang ke rumahnya pada 19 Ogos tahun lalu.

Gao mula terkenal di Internet sejak 2016 selepas memuat naik video dia menghancurkan sebuah Lamborghini yang didakwanya sekadar gimik.

Gao menjadikan video siaran langsung sebagai sumber pendapatannya dengan memperoleh ganjaran atau sumbangan daripada peminatnya sehingga 200,000 yuan (RM117,348) setiap sesi.

Katanya, dia memperoleh lebih 6 juta yuan (RM3.5 juta) daripada siaran langsung berkenaan tetapi ia diserahkan kepada badan amal.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:32am
d