global

Si cantik ganas

Oleh Agensi

TOKYO: Terlalu cantik untuk jadi pembunuh. Begitu anggapan Netizen terhadap seorang wanita Jepun, Yuka Takaoka yang didakwa cuba membunuh teman lelakinya dengan menikamnya di perut disebabkan terlalu cemburu.

Gambar wanita itu berlumuran darah sedang duduk selamba di tangga masuk ke bangunan apartmen kediamannya sambil merokok dan bercakap telefon dengan rakan, manakala teman lelakinya Phoenix Luna yang perutnya terbelah terbaring bogel di belakangnya, mengejutkan netizen ketika Yuka ditahan pada Mei lalu.

Malah Yuka sempat melemparkan senyuman ketika dibawa polis dari tempat kejadian.

Menurut laporan, Yuka tiba-tiba mengamuk apabila menemui gambar intim wanita lain dalam telefon bimbit Luna.

Media tempatan memetik Yuka berkata: “Saya tidak menghubungi talian kecemasan kerana sebenarnya mahu mati selepas melihatnya (Luna) begitu nazak.”

Susulan gambar itu tersebar, Yuka menjadi sensasi di Internet dengan peminatnya mewujudkan puluhan akaun Instagram sebagai tanda sokongan selain menganggap perbuatannya disebabkan tidak dapat menahan emosi, lapor The Mirror.

Wartawan Kenji Nakano dari Tokyo Reporter menulis, populariti Yuka itu disebabkan dia disifatkan seperti ‘yandere’ dalam dunia anime. Yandere bermaksud seseorang yang lemah lembut dan penyayang bertukar ganas disebabkan rasa cinta yang membuak.

Menurut news.com.au, pasangan itu baru tinggal bersama tiga hari sebelum kejadian.

Bagaimanapun, Luna yang juga pekerja bar memberitahu Tokyo Reporter baru-baru ini, dia langsung tidak berdendam dengan Yuka atas kejadian itu, malah semakin popular di tempat kerjanya selain berhubungan semula dengan keluarganya.

“Saya faham kenapa dia bertindak begitu. Lagipun susulan kejadian ini saya bertemu semula dengan adik-beradik buat kali pertama dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Yuka bakal dihadapkan semula ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:50am
d