global

Jepun arah penduduk berpindah

Oleh AFP

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun hari ini mengarahkan 240,000 penduduk di barat daya negara itu berpindah selepas ramalan hujan lebat luar biasa dijangka mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh.

Pihak berkuasa turut mengesahkan seorang lelaki maut akibat bencana berkenaan.

Arahan pemindahan dibuat selepas Agensi Kaji Cuaca Jepun mengeluarkan amaran hujan lebat paras tertinggi bagi beberapa bahagian di Kyushu.

Amaran dikeluarkan jika ada kemungkinan berlaku malapetaka dan diaktifkan sebaik bencana diisytiharkan serta mengarahkan penduduk mengambil langkah melindungi nyawa mereka.

Arahan dan nasihat pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan tetapi bukan mandatori walaupun pegawai menggesa penduduk mematuhinya.

Pengurusan bomba dan bencana berkata, ia sudah menerima pelbagai laporan rumah dinaiki air di Saga dan pegawai berusaha mengesahkan butiran kerosakan.

“Kami menyaksikan hujan lebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini di bandar raya yang menyebabkan kami mengeluarkan amaran khas.

“Ia adalah keadaan yang memerlukan anda bertindak terbaik untuk melindungi nyawa,” kata pegawai agensi kaji cuaca, Yasushi Kajiwara.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 11:28am
d