global

Ketumbuhan 25kg dalam perut wanita

Oleh Agensi

MOSCOW: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di Russia berjaya mengeluarkan ketumbuhan sebesar bola dengan berat 25 kilogram dari ovari seorang wanita berusia 59 tahun.

Menurut Daily Mail, wanita terbabit dikejarkan ke Hospital Moscow kerana mengadu sakit dan sukar bernafas sebelum doktor mengesan ketumbuhan itu.

Beberapa gambar di dewan pembedahan menunjukkan doktor mengeluarkan ketumbuhan bersaiz gergasi itu lalu memasukkan ia ke dalam tong.

Menerusi satu video, doktor terbabit sempat menari bagi meraikan kejayaan mereka mengeluarkan ketumbuhan itu.

Pesakit terbabit kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan itu namun ia bukanlah ketumbuhan paling besar yang pernah direkodkan setakat ini.

Seorang petugas di hospital itu memberitahu, kes itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana doktor sering mengeluarkan ketumbuhan yang besar dalam tubuh pesakit.

“Puncanya adalah lambat mendapatkan bantuan perubatan dan cuai dengan kesihatan diri.

“Ketumbuhan besar ini menekan saluran kencing, perut dan diafragma menyebabkan ketidakselesaan serta kesakitan.

Namun, ramai pesakit enggan ke hospital kerana menganggap ia akan sembuh sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 7:05am
d