global

Korban rekod terpantas

Oleh Agensi

LOS ANGELES: Pemandu profesional dan pengacara televisyen, Jessi Combs terbunuh selepas kenderaan enjin jet yang dipandunya kemalangan ketika cuba memecah rekod darat paling pantas wanita yang dipegangnya sendiri.

Jessi, 39, digelar ‘wanita empat roda terpantas’ maut dalam kemalangan kira-kira 4 petang (waktu tempatan) pada Selasa lalu di Gurun Alvord di Oregon.

Mendiang berjaya mencipta rekod dunia baru dengan kelajuan 641 kilometer sejam yang dicatatkannya pada 2013 selepas menjadi pemandu pasukan American Eagle Supersonic Speed Challenger.

Pada 2016 dia cuba memecahkan rekod berkenaan tetapi kenderaan enjin jet yang dipandunya mengalami kerosakan mekanikal.

Maklumat lanjut mengenai kemalangan itu belum disiarkan tetapi keluarganya memberitahu Jessi dikelilingi orang-orang tersayang ketika dia meninggal dunia.

Keluarganya berkata, Jessi mengejar impian menjadi wanita terpantas di dunia.

“Jessi memiliki impian dengan keberanian untuk menjadikan ia satu realiti dan dia meninggalkan dunia ini dengan menjadi pemandu paling pantas berbanding mana-mana wanita dalam sejarah,” kata keluarganya dalam satu kenyataan.

Beberapa hari sebelum tragedi itu, Jessi memuat naik gambar di Instagram dan memberitahu dia mahu memecahkan rekod kelajuan 824 kilometer sejam.

Teman lelakinya, Terry Madden mengesahkan kematian Jessi di Instagram semalam dan memberitahu, dia melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kekasihnya itu.

“Saya orang pertama yang tiba dan percayalah, kami lakukan apa sahaja yang mampu untuk menyelamatkannya,” katanya.

Jessi cuba memecahkan rekod pelagak ngeri AS, Kitty O’Neil sebagai ‘wanita terpantas dunia’ dicatat pada 1976 menggunakan kenderaan roda tiga di Alvord Desert pada kelajuan 824 kilometer sejam.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 7:19am
d